Orang Minangkabau merupakan penduduk asal kawasan Sumatera Barat, Indonesia. Pada permulaan abad ke-14, masyarakat Minangkabau tiba di Negeri Sembilan melalui Melaka kemudian ke Rembau. Minangkabau merupakan gabungan daripada perkataan ‘Minang’ yang bermaksud ‘Menang’ dan ‘Kabau’ bermaksud ‘Kerbau’. Gabungan perkataan ini diperoleh daripada peristiwa perselisihan faham antara kerajaan Minangkabau dengan seorang Putera dari kerajaan Jawa yang meminta pengakuan kekuasaan di Tanah Melayu. Bagi mengelak daripada berperang masyarakat Minangkabau mencadangkan pertandingan beradu kerbau
Masyarakat Minangkabau merupakan masyarakat Matrilineal yang terbesar di dunia. Adat ini menyebabkan kaum lelaki Minangkabau merantau untuk mencari ilmu dan kemewahan melalui perdagangan. Kanak-kanak lelaki seawal usia tujuh tahun selalunya akan meninggalkan rumah mereka untuk tinggal di surau yang mana mereka akan diajar dengan ilmu agama dan adat Minangkabau. Apabila remaja pula mereka digalakkan untuk meninggalkan kampung halaman untuk mencari pengalaman di dunia luar agar mereka dapat menjadi seorang yang lebih matang dan bertanggungjawab kepada keluarga dan kampung halaman.
Selain itu, biasanya masyarakat Minangkabau merupakan penganut agama Islam. Disebabkan itu, majlis pernikahan bagi masyarakat ini dilakukan mengikut syariat Islam dan adat mereka yang tersendiri. Syarat-syarat perkahwinan bagi masyarakat Minangkabau adalah kedua calon mesti beragama Islam, tidak berasal daripada suku yang sama kecuali persukuan itu berasal dari negeri yang lain, saling menghormati antara satu sama lain dan keluarga kedua belah pihak serta calon suami harus mempunyai sumber pendapatan. Perkahwinan yang tidak memenuhi syarat di atas dianggap perkahwinan sumbang. Selain itu, masih ada peraturan tertentu dan upacara adat agama Islam yang harus dipatuhi iaitu majlis jopuik manjopuik, pinang meminang, batuko tando, akad nikah, baralek gadang, jalang menjalang, dan sebagainya.
Disamping itu, dalam upacara kematian, masyarakat Minangkabau mengutamakan perkara-perkara wajib menurut syariat Islam seperti pengurusan jenazah. Seterusnya, akan diadakan majlis memperingati Allahyarham seperti manujuah hari iaitu majlis memperingati tujuh hari, duo puluah hari iaitu majlis memperingati hari ke empat puluh dan akhir sekali manyaratuih hari iaitu majlis memperingati hari ke seratus.
Bahasa Minangkabau mempunyai perkataan yang serupa dengan bahasa Melayu, tetapi berbeza dari segi sebutan dan tatabahasa. Contohnya, “Sadang kayu di rimbo tok samo tinggi, kok kunun manusia” yang bermaksud, sedangkan pohon di hutan tidak sama tinggi, apatah lagi manusia.
Masyarakat Minangkabau juga menyukai masakan pedas dan banyak menggunakan santan kelapa. Antara makanan terkenal bagi masyarakat ini adalah rendang dan dendeng balado. Rendang mempunyai falsafah tersendiri bagi masyarakat Minangkabau iaitu musyawarah. Empat bahan utamanya iaitu daging lembu mewakili para pemimpin suku adat, kelapa mewakili kaum intelektual, lada mewakili alim ulama yang tegas untuk mengajar hukum-hukum agama dan pemasak mewakili keseluruhan masyarakat Minangkabau. Seterusnya, dendeng balado pula merupakan hirisan tipis daging sapi yang dikeringkan lalu digoreng sehingga kering.